Friday, August 28, 2009

Sedekahkan Al-Fatihah...



PEMERGIAN tokoh akademik dan ekonomi negara, Senator Prof Datuk Dr Ismail Salleh, 62, adalah satu kehilangan besar dan tiada gantinya kerana pengorbanan Allahyarham yang tidak terhitung dalam mengangkat martabat dunia pendidikan, membantu memacu ekonomi negara dan membela nasib golongan orang kurang upaya (OKU). Bagi anak ketiga Allahyarham, Aqilah Zafirah Hanis, 17, berita pemergian bapa yang diterimanya pada jam 4 pagi semalam, memang mengejutkan keluarganya kerana mereka sepatutnya menyambut kepulangan Ismail, pagi semalam dan bakal meraikan hari jadinya ke-62 pada 2 September depan. “Ayah mengalami penyakit buah pinggang tetapi ketika bertolak ke Beijing, Selasa lalu, kesihatan ayah baik,” katanya.
Teman rapat Ismail - bekas menteri Kabinet, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman, berkata berita sedih pemergian pakar ekonomi itu yang diterimanya menerusi SMS awal pagi semalam, sungguh memeranjatkan kerana dia tidak mengetahui sebarang masalah kesihatan yang dialami Allahyarham. “Saya mengenali Ismail sejak 1970 ketika dalam penerbangan ke New York dan ketika di universiti, saya banyak membantunya dengan membacakan buku kepadanya dan hubungan baik kami bertahan hingga sekarang. “Bagi saya, dia seorang rakan yang baik, memiliki kecerdasan otak yang luar biasa, rajin belajar walaupun ada kekurangan diri dan berjaya membuktikan kemampuannya sehingga memiliki PhD.
“Dia juga seorang yang dedikasi dan memberi seluruh tumpuan terhadap sesuatu perkara yang dilakukannya. Semangatnya untuk membantu OKU dan mengangkat martabat masyarakat Melayu khasnya bagi kelas pertengahan sungguh mengagumkan, malah Allahyarham juga sentiasa fokus terhadap arah ekonomi yang mahu kita tuju,” katanya. Siti Zaharah berkata, sikap Allahyarham yang tidak pernah melupakan rakan walaupun sudah memiliki kedudukan tinggi dalam kerjaya sangat menyenangkan mereka, malah beliau sangat kreatif dan sering menjadikan pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ sebagai panduan hidupnya. “Kita kehilangan seorang permata kerana Allahyarham adalah seorang yang sangat dihormati di negara ini dan sangat konsisten dalam penguasaan ilmu,” katanya.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin pula menyifatkan Allahyarham banyak memberikan sumbangan, idea bernas dan input untuk kerajaan ketika menyertai Kumpulan G15, serta menyediakan memorandum kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Ekonomi dan Pembentukan Bangsa.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi, berkata Allahyarham adalah seorang ikon yang berjaya walaupun kurang upaya, malah kekuatan semangat yang dimilikinya melebihi orang normal. Allahyarham disahkan meninggal dunia ketika dalam penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur melalui Singapura pada jam 3.50 pagi semalam. Allahyarham yang berada di Beijing dengan ditemani isterinya, Datin Hasnah Wahab, 51, sejak Selasa lalu atas urusan rasmi, sepatutnya pulang ke tanah air kelmarin, tetapi perjalanan itu ditangguhkan hingga semalam, atas sebab tertentu. Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, Ismail yang juga satu-satunya cendekiawan yang cacat penglihatan di negara ini, tidak pernah meninggalkan isterinya jika beliau keluar rumah. Malah Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di depan isteri tercinta.
Anak kedua daripada sembilan beradik, Ismail yang tamat belajar hingga Tingkatan Enam Atas dan kemudian mendapat biasiswa Mara untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat, mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pertama daripada komuniti OKU pada 18 Disember 2007. Melalui kehidupan yang penuh ranjau dan duri untuk mengejar kejayaan di sebalik kecacatan penglihatan yang dialami sejak berusia 13 tahun, tidak pernah menjadi penghalang untuk Ismail mencapai apa yang diingininya, sehingga mampu memperoleh kelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi dan politik dari University of New York. Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Antarabangsa Twintech (IUCTT) dan Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia, mengakui terpaksa melalui banyak diskriminasi akibat kecacatan yang dialaminya itu.
Susulan itu, sebaik dilantik sebagai Senator yang dianggap sebagai detik paling manis dan bersejarah dalam hidupnya, beliau berazam untuk mengangkat martabat OKU bagi membantu golongan berkenaan menerusi pandangan, pendapat dan cadangan pelbagai isu yang dibangkitkannya pada forum tertinggi negara.
Bapa kepada enam anak, Ismail yang juga Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (Isis) turut menjadi antara lima tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun lalu. Pemilihannya itu adalah pengiktirafan yang diterima Ismail terhadap sumbangannya dalam beberapa bidang seperti pendidikan dan ekonomi, selain kerja amal yang dilakukannya bagi membantu OKU. Tidak hanya memperjuangkan nasib OKU, Ismail turut prihatin terhadap nasib pekerja di negara ini apabila mencadangkan kepada kerajaan supaya melaksanakan dasar gaji minimum dalam pelaksanaan model baru ekonomi yang dirancang jika mahu meningkatkan produktiviti dan inovasi di kalangan pekerja.

Wednesday, August 26, 2009

Berita: Pendidik Pelajar Istimewa

Digigit, diludah, ditendang




MENGUTAMAKAN kegigihan dan kejujuran dalam kerjaya menjadi prinsip wanita yang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur ini dalam mendidik anak-anak istimewa.

Tanpa kedua-dua aspek itu, Nurfadzilah Abu Samad, 33, mungkin tidak mampu berdepan dengan pelbagai kerenah dan kesukaran menjadi pendidik kepada kanak-kanak istimewa.

"Saya pernah berputus asa dalam mengajar kanak-kanak istimewa ini dan tanggungjawab yang harus dipikul juga terlalu berat.

"Bayangkanlah, ada pelajar yang baring di luar kelas, ada yang memukul dan menggigit saya kerana tidak memberi perhatian terhadapnya dan pelbagai cabaran lain," kata Nurfadzilah yang memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1994 di sekolah pendidikan khas cacat pendengaran di Jalan Peel, Cheras sebelum beralih ke Sekolah Menengah Danau Kota, Setapak dua tahun lalu.


NORAZAH Abdul Aziz (kiri) begitu asyik melihat bongkah segi empat pada tangan Cikgu Nurfadzillah.


Tambahnya, cabaran paling berat yang pernah dihadapinya adalah apabila seorang pelajar membuang air besar di dalam kelas.

"Di sinilah kesabaran sebagai guru teruji. Dengan meletakkan diri sebagai seorang pendidik, pertimbangan dan tindakan yang wajar perlu saya dahulukan," katanya yang kini begitu menyayangi kerjaya sebagai guru pendidikan khas itu.

Berdepan dengan pelbagai risiko, beliau memotivasi diri dengan mengingatkan dirinya bahawa rezeki adalah pemberian daripada Allah.

"Adakalanya bidang ini pun ada permainan tersendiri. Adatlah, bukan semua kanak-kanak istimewa dapat melalui fasa perubahan yang cepat.

"Namun, semua itu merupakan cabaran yang harus saya lalui," katanya yang memiliki pengalaman mengajar selama 15 tahun itu.


SEKOLAH Menengah Danau Kota, Setapak yang mempunyai dua aliran iaitu PKPB (pelajar khas) dan aliran perdana (pelajar normal).




Lazimnya menjaga anak istimewa memerlukan kesabaran yang berlipat ganda. Ini kerana mereka mempunyai perangai tersendiri seperti tidak sabar, memberontak, cepat menangis dan mengamuk.

"Tidak kira apa tanggapan orang, ibu bapa harus yakin bahawa anak sindrom Down, hiperaktif, terencat akal, autisme atau gangguan obsesif kompulsif (melakukan sesuatu berulang kali) masih boleh diasuh untuk berdikari.

"Perkembangan anak bermasalah ini lebih baik dan memberangsangkan jika ibu bapa dapat menerima hakikat dan mencari jalan dengan menghantar anak ke sekolah khas secepat mungkin," kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu.


PELBAGAI kerenah dapat disaksikan semasa proses pembelajaran dilakukan.


Nurfadzilah memberitahu, jika ada pelajar istimewa yang dirasakan berpotensi, dia akan membawa mereka pulang ke rumah selepas sekolah dan mengajar cara-cara pengurusan diri.

"Setiap kelas mempunyai 10 orang pelajar. Jika ada dua tiga orang yang berpotensi, sama ada dalam pelajaran atau tindak balas pertuturan, saya rasa rugi jika kita biarkan mereka begitu sahaja tanpa mengajarnya berdikari menguruskan diri.

"Ini penting untuk masa depan kanak-kanak tersebut. Apabila besar nanti, berkemungkinan mereka dapat bekerja dan hidup tanpa mengharapkan bantuan orang lain," katanya.


MUHAMMAD Naqiuddin Amran, (kiri) dan Muhammad Shamil Fitri Naim (tengah), pelajar lembam dari aliran PKBP sedang menelaah pelajaran dengan Muhammad Tamam Ibrahim.





Bagaimana dengan sambutan Hari Guru esok?

"Untuk sambutan Hari Guru, saya akan mengajar kanak-kanak ini untuk membuat kad dan kami guru-guru Program Pendidikan Khas Bermasalah (PKBP) akan mengadakan sedikit jamuan bagi meraikan Hari Guru dengan pelajar-pelajar istimewa ini," katanya.

Namun kalau di sekolah biasa, kebanyakan guru akan menerima ucapan, kad dan hadiah daripada muridnya, tetapi bagi guru pendidikan khas mereka terkecuali daripada mendapat keistimewaan tersebut.

"Bagi saya itu semua tidak penting. Apa yang penting ialah pendidikan diberikan buat kanak-kanak istimewa ini biarpun ia memakan masa yang lama.

"Tetapi jika mereka pandai berdikari dan menguruskan diri, itulah hadiah yang tidak ternilai buat saya," katanya.

Bagi Lee Fong Lan, 47, penglibatannya sebagai guru pendidikan khas adalah secara kebetulan.

Lee sebelum ini ialah seorang guru kaunseling yang mengajar di sekolah biasa iaitu di Taman Melati, Kuala Lumpur dan kemudian di Sekolah Menengah Chong Hua, Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

"Kerjaya saya sebagai guru pendidikan khas bermula apabila saya mendapat tawaran biasiswa daripada pihak Kementerian Pelajaran untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana Pendidikan Khas di Universiti Malaya selama dua tahun.

"Selepas tamat Sarjana pada tahun 2002, saya mengikuti PKBP di Sekolah Menengah Seksyen Lima, Wangsa Maju selama lima tahun," kata ibu kepada empat orang anak itu.

Ujarnya, selepas mendapat tahu mengenai Program PKBP yang baru dibuka di Sekolah Menengah Danau Kota, Setapak pada tahun 2005, Lee membuat permohonan kerana sekolah tersebut lebih dekat dengan rumahnya.

"Jika mengajar tiga orang kanak-kanak istimewa, ibarat saya mengajar 30 orang. Penatnya tidak dapat digambarkan. Antara pengalaman dan cabaran yang saya hadapi termasuklah ditendang dan diludah oleh kanak-kanak autisme.

"Namun, ia menjadi satu kebanggaan kepada diri saya apabila kanak-kanak autisme itu kini semakin mendengar kata dan berkelakuan baik," katanya.

Meskipun aktiviti-aktiviti pembelajaran di Sekolah Danau Kota, Setapak itu dilihat tidak ubah seperti kelas tadika, ia bukan sesuatu yang mudah untuk 10 orang pembantu dan 22 orang guru mengawal anak istimewa yang berumur antara 14 hingga 20 tahun ini.


Untuk selanjutnya sila rujuk Kosmo! Online

Tuesday, August 25, 2009

Papan Hitam VS Papan Putih

Papan Hitam dan Sejarahnya

Papan hitam ialah sejenis permukaan untuk menulis dan melukis menggunakan kapur (sejenis bahan yang diperbuat daripada kalsium sulfat) dan boleh digunakan berulang-ulang kali. Pada zaman dahulu, papan hitam pada asalnya hanyalah diperbuat daripada batu loh atau papan batu yang licin dan nipis berwarna hitam atau kelabu gelap. Fesyen yang terbaru pula biasanya berwarna hijau atau coklat dan oleh sebab itu, ia kadang-kadang dipanggil juga papan hijau.


Papan hitam biasanya digunakan dalam proses pengajaran di kebanyakan institusi pendidikan, walaupun dalam kebanyakan negara kaya, penggunaannya telah dihapuskan. Tulisan kapur pada papan hitam amat mudah dipadam dengan menggunakan kain, span atau pemadam papan hitam khas. Walau bagaimanapun, tulisan kapur yang ditulis di atas papan hitam yang basah agak sukar untuk dipadamkan. Oleh sebab itu, pengeluar papan hitam selalunya menasihatkan supaya papan hitam yang baru dibeli disapu dengan sisi sebatang kapur tulis sepenuhnya dan dipadamkan semula agar dapat digunakan seperti biasa.

Namun, papan hitam mempunyai sedikit kelemahan; ia menghasilkan habuk kapur dan jumlahnya bergantung kepada kualiti kapur tulis yang digunakan. Sesetengah orang tidak gemar akan situasi ini dan ada juga yang alah kepadanya. Pada masa yang sama, terdapat juga pertikaian tentang habuk kapur ini dengan masalah pernafasan. Habuk ini juga boleh menimbulkan masalah kepada bahan yang sensitif habuk seperti komputer.

Cakaran kuku pada papan hitam termasuk cakaran menggunakan objek keras seperti logam diketahui umum akan menghasilkan bunyi yang tidak digemari (mengilukan). Ramai juga yang enggan bukan sahaja melihat bahkan membayangkan bunyi ini.

Papan hitam juga selalu digunakan di berbagai-bagai tempat (seperti kedai arak),restoran sebagai alat pengiklanan bagi menu serta untuk merekod mata dalam acara-acara sukan di peringkat bawahan.

Papan hitam pada zaman dahulu hanyalah sekeping batu untuk mencatat nota di atasnya tanpa menggunakan kapur tulis kerana pada masa itu kapur tulis masih belum wujud lagi. Kanak-kanak hanya menggunakan batu kecil untuk menulis di atasnya. Tulisan dengan mudahnya dipadam menggunakan sehelai kain buruk bagi membolehkan nota atau masalah lain ditulis.

Pada lewat kurun ke-18 dan awal kurun ke-19, ‘’papan batu’’ ini sering digunakan di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain. ‘’Papan batu’’ ini ditambat pada rangka kayu untuk membantu mengukuhkannya dan mengelakkannya daripada retak. Pada masa itu, kertas amat mahal dan sukar untuk didapati dan oleh sebab itu, ‘’papan batu’’ ini amat sesuai sebagai pengganti.

Namun, pada suatu ketika, ‘’papan batu’’ ini mula digunakan dengan kaedah terbaru. Seorang guru geografi yang bekerja di Scotland dilaporkan telah mengambil ‘’papan batu’’ daripada pelajar-pelajarnya dan menggantungkannya pada dinding. Dia kemudiannya menggunakannya untuk membuat papan tulis yang boleh diubah untuk menulis maklumat geografi yang membolehkan pelajarnya membaca bersama-sama. Revolusi papan hitam bermula dari sini.

I dea ini diaplikasikan dengan cepat. Penggunaan papan hitam dalam cara ini yang pertama sekali direkodkan ialah di benua Amerika Utara, iaitu apabila papan hitam digunakan di Akademi Ketenteraan Amerika Syarikat di West Point. Akademi ketenteraan yang lain juga kemudiannya mengikut kaedah penggunaan papan hitam ini dan akhirnya, kaedah ini telah tersebar di semua sekolah-sekolah yang lain.

Kebanyakan pelombongan ‘’papan batu’’ di Amerika Syarikat bertempat di bahagian timur laut, iaitu di kawasan seperti Maine, Vermont, Pennsylvania dan sedikit di bahagian selatan di Virginia. Apabila Amerika Syarikat mula berkembang ke sebelah barat, jalan-jalan raya batu membolehkan ‘’papan batu’’ untuk dijadikan papan hitam dihantar dari negeri-negri ini ke sekolah sepanjang Great Plain dan kawasan prairi pada sekitar tahun 1840-an. Papan hitam ini tetap tersebar ke sekolah-sekolah kemana sahaja Amerika Syarikat berkembang.

Pada sekitar 1850-an, sekolah-sekolah telah dilengkapkan dengan papan hitam bersama-sama dengan beberapa perkakas lain seperti dapur (yang menggunakan kayu untuk memasak) dan bangku. Walau bagaimanapun, penggunaan papan hitam masih lagi belum menjadi sesuatu yang biasa.

Apabila teknologi semakin maju, batu yang digunakan untuk menulis pada papan hitam telah digantikan dengan kapur tulis. Kapur tulis yang lembut ini lebih mudah untuk digunakan pada papan hitam dan juga lebih mudah untuk dibersihkan. Kain buruk yang pernah digunakan untuk memadam tulisan pada papan hitam telah digantikan dengan pemadam papan hitam yang baru, yang mana mampu menyerap lebih banyak habuk kapur tulis dan mengelakkannya daripada berterbangan di udara. Papan hitam juga tidak lagi diperbuat daripada ‘’papan batu’’ tetapi kepingan besi dengan porselin.

Sejak kebelakangan ini, banyak sekolah telah menggantikan papan hitam dengan papan putih kerana bimbang dengan masalah kesihatan yang mungkin timbul akibat habuk kapur tulis.


Papan Putih dan Masa Depannya…



Papan Putih adalah satu inovasi baru dalam teknologi papan tulis. Permukaan sekeping papan dilapik dengan satu lapisan enamel putih yang menjadi permukaan untuk ditulis dengan menggunakan pena berisi dakwat khas yang mudah dipadamkan. Antara kelebihan menggunakan papan putih adalah:


• Tidak ada habuk

• Mudah alih serta boleh di buat dalam pelbagai saiz.

• Mudah dicuci dengan menggunakan pemadam berkain lembut.

• Boleh dihasilkan sendiri



Papan Putih Interaktif…

Apa itu papan putih interaktif elektronik? Ia adalah sebuah peranti persembahan yang bersemuka dengan sebuah komputer. Imej komputer dipaparkan ke atas papan oleh projektor yang boleh ditonton dan dimanipulasi. Pengguna boleh mengawal kedua-dua perisian daripada komputer dan dari papan.




Dalam sebuah bengkel seminar para menteri sempena The British Educational Technology Show (BETT 2007), apabila peserta-peserta dari pelbagai negara ditanya tentang apa yang mereka harapkan ada di sekolah mereka berdasarkan keutamaan, hampir 70 peratus menyatakan interactive whiteboard atau papan putih interaktif (IWB). Mereka diminta memilih antara akses jalur lebar, `connectivity’, komputer peribadi (desktop dan notebook) dan beberapa item pembelajaran berasaskan teknologi maklumat (IT). Respon ini menunjukkan bahawa peserta-peserta ini melihat kegunaan besar papan putih di dalam kelas di sekolah-sekolah negara mereka.

Direkodkan hampir 600,000 papan putih interaktif dijual di seluruh dunia menghasilkan jualan mencecah US $1 billion dalam tahun 2008. Dianggarkan setiap satu daripada enam kelas di dunia akan mempunyai papan putih interaktif menjelang 2012.

Dikatakan juga dalam tahun 2004, hanya 26 peratus sekolah rendah di British mempunyai papan putih interaktif. Namun dalam tempoh tiga tahun, menurut bancian British Educational Communications and Technology Agency (Becta) 2007, 98 peratus daripada sekolah rendah dan 100 peratus sekolah rendah British telah mempunyai papan putih interaktif.

Bagi golongan yang sinikal terhadap teknologi, papan putih interaktif hanyalah sekadar satu lagi perkakasan dalam pendidikan. Bagaimanapun bagi ramai pihak di seminar para menteri tersebut, ia bukan sekadar perkakasan IT, tetapi apabila digandingkan dengan perisian interaktif yang baik dan mesra pengguna, connectivity, akses jalur lebar yang berkesan serta latihan kepada guru, ia berupaya untuk mengubahkan pendekatan, mood dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas.

Dengan perisian,`features’ dan aplikasi yang disertakan dengan papan putih interaktif ini, guru-guru boleh membangunkan bahan-bahan P&P dengan begitu mudah dan boleh menambah baikkannya dari semasa ke semasa. Dengan jumlah pengguna (user base) yang tinggi di seluruh dunia, mereka juga boleh berkongsi bahan P&P dan memuat turunkannya dari capaian web tertentu. Ini banyak menjimatkan masa mereka untuk menyediakan bahan P&P.

Pendekatan dengan murid di dalam kelas juga menjadi berbeza. Murid turut dilatih menggunakannya untuk belajar dan membentangkan tugasan. Semua ini akhirnya menjadikan persekitaran P&P dalam kelas amat interaktif dan tidak membosankan walaupun di sekolah tertentu di UK, waktu kelas boleh mencecah sehingga 160 minit!

Justeru tidak menghairankan jika ramai guru di United Kingdom (UK), Australia dan Canada dan begitu teruja menggunakannya di dalam kelas sehinggakan mereka tidak lagi boleh mengajar dengan baik tanpa papan putih interaktif. Lawatan saya ke beberapa buah sekolah di Australia dan UK menunjukkan guru bagi semua subjek amat bergantung pada `features’ yang ditawarkan oleh papan putih interaktif ini.

Di Malaysia, saya difahamkan papan putih interaktif telah diperkenalkan seawal tahun 2002 di Maktab Tentera Di Raja Malaysia (MTD). Mungkin hari ini, MTD adalah satu-satunya sekolah kerajaan di Malaysia yang mempunyai papan putih interaktif di dalam setiap kelas. Ini menjadikan pelaksanaannya efektif kerana guru dan pelajar tidak diberi sebarang pilihan, melainkan terpaksa membudayakan diri menggunakan papan putih interaktif dalam P&P.

Papan putih interaktif telah diperkenalkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada tahun 2004. Bagaimanapun strategi pelaksanaannya di Malaysia yang agak bercelaru menimbulkan banyak persoalan.

Di peringkat awal, pada tahun 2005, iaitu sebelum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) diumumkan, sejumlah sekolah yang baik telah diberikan papan putih interaktif agar ia dapat digunakan secara rintis. Pada tahun 2006, lebih banyak lagi jenama dan perisian papan putih interaktif ini dirintis. Lebih banyak sekolah lagi dilibatkan.

Peliknya, sebelum program rintis ini sempurna, difahamkan KPM telah membeli sejumlah apparatus papan putih interaktif untuk sejumlah sekolah luar bandar. Ada yang beranggapan pembelian ini tidak dibuat atas penilaian yang strategik dan tanpa strategi yang betul, pembelian satu atau dua unit untuk sebuah sekolah tidak mungkin berupaya mengubah budaya serta pendekatan P&P guru di dalam sekolah tersebut.

Lebih menghairankan, pembelian papan putih interaktif untuk sekolah-sekolah ini dibuat pada ketika 88 buah Sekolah Bestari masih belum dilengkapkan dengan sebarang papan putih interaktif, melainkan kelas yang terlibat dengan projek rintis sahaja.

Apa pun, dari maklum balas yang diterima, ramai guru di sekolah yang terlibat dalam projek rintis, termasuk yang dipinjamkan papan putih interaktif semasa Persidangan Sekolah Bestari Antarabangsa 2007 berminat untuk menggunakannya secara berterusan kerana mereka telah melihat manfaatnya di dalam kelas.

Saya dimaklumkan sekolah-sekolah di UK telah diperkenalkan dengan papan putih ini seawal tahun 1996 lagi. Malangnya di negara kita, walaupun ada usaha untuk melengkapkan sejumlah sekolah yang bersedia dengan papan putih interaktif dan dikhabarkan terdapat RM 10 juta diperuntukkan dalam RMKe-9 untuk tujuan ini, namun selepas lima tahun ia diperkenalkan di Malaysia, pelaksanaannya di sekolah-sekolah yang telah bersedia dari segi IT, terutama sekolah-sekolah yang bertaraf bestari, masih tidak dapat direalisasikan.

Kelewatan penjawat awam dalam bahagian tertentu di KPM berresponsif dengan perubahan adalah punca Malaysia ketinggalan dalam usaha mentransformasi P&P di dalam kelas dan sistem pendidikan berbanding negara-negara lain di dunia.


(Sumber dari TUN FAISAL ISMAIL AZIZ, versi yang disunting "Papan Putih Interaktif meransang transformasi P&P" disiarkan dalam Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia, Rabu, 24 Jun 2009.)

Monday, August 24, 2009

Blog Baru Muny...

Assalamualaikum.. Hai semua! Blog ni aku buat khusus untuk entri2 yg berunsurkan ilmu... Nanti bleh la kita share pasal RPH ke.. P&P ke... BBM ke.. or ape ape je lah cerita2 kat skolah etc... Ok...
Buah cempedak di luar pagar..
Ambil galah tolong jolokkan..
Saya budak baru belajar..
Kalau salah tolong tunjukkan...